Kita boleh lawati laman web http://www.thefa.com/TheFA/TheOrganisation/Postings/2004/03/The_Council.htm untuk melihat struktur organisasi bola sepak Inggeris. President FA adalah Putera William dan dipengerusikan atau ditadbir sepenuhnya oleh mereka yang faham tentang bola sepak. Ia merangkumi segala aspek pembangunan bola sepak khususnya dan pembangunan sukan amnya.
Persoalannya sekarang, adakah pengurusan tertinggi FAM sekarang adalah orang yang benar-benar layak mentadbir dan memikirkan hala tuju jatuh bangunnya bola sepak Malaysia? Mereka-mereka ini tidak dedikasi dalam mentadbir FAM kerana dalam masa yang sama, mereka sebok dengan percaturan politik semasa.
Tindakan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah mempertahankan jawatannya adalah suatu tindakan yang tepat. Sultan Haji Ahmad Shah perlu membersihkan mereka-mereka yang gagal di dalam FAM dan menggantikan dengan muka-muka baru yang mana mampu mendedikasi tugas mereka sebagai penentu hala tuju bola sepak Malaysia. Mereka seharusnya memberikan komitmen yang tinggi untuk FAM.
Ternyata jauh berbeza gaya dan keupayaan pasukan pengurusan FAM jika dibandingkan dengan FA Inggeris. FAM patut mengakui bahawa FAM terlalu lemah menguruskan pasukan bola sepak Malaysia.
Perancangan dan Pembangunan bola sepak Malaysia yang diterajui oleh FAM selama ini telah gagal. Barisan FAM dari Deputy President 2 hingga ke Secretary General patut meletakkan jawatan. Komitmen mereka terhadap bola sepak Malaysia tidak seratus peratus. Mereka mempunyai komitmen lain di dalam arena politik. Biarlah muka-muka ini berjuang di dalam arena politik sahaja dan beri peluang kepada mereka-mereka yang benar-benar mengabdikan diri mereka kepada pembangunan bola sepak menerajui FAM.
Pada hemat saya, Sultan Haji Ahmad Shah dan Tengku Abdullah perlu terus menerajui FAM dan ianya masih relevan. Yang perlu dirombak adalah barisan komiti yang lain. Sepatutnya, 15 tahun dahulu, FAM sudah menyerapkan Ghani Minhat di dalam pengurusan tertinggi FAM. Selain dari itu, Dato' Soh Chin Aun, Dato' Dell Akbar Khan, Zainal Abidin, Shebby Singh, Santokh Singh dan Dollah Salleh juga telah lama diserap di dalam pasukan pengurusan FAM. Mereka ini lebih memahami bola sepak berbanding ahli-ahli politik FAM.
Kelab-kelab gergasi bola sepak, lebih menaruh kepercayaan kepada bekas pemain bola sepak bagi menguruskan pasukan bola sepak gergasi. Mereka ini adalah jurulatih merangkap pengurus pasukan. Nama-nama besar seperti Franz Beckenbauer, Alex Furgeson, adalah bekas pemain bola sepak.
Malangnya di FAM, jurulatih dan pengurus pasukan adalah dua individu yang berbeza. Pengurus pasukan biasanya adalah ahli politik atau menteri besar. Jawatan jurulatih diletakkan dibahu jurulatih proffesional atau bekas pemain yang hebat. Pengurus pasukan (ahli politik) juga mempunyai pengaruh di dalam menentukan pemilihan pemain. Ini adalah suatu kesilapan yang besar didalam pengurusan bola sepak. Biarlah Menteri besar menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengurusan negeri dan karier politik.
Suara-suara penafian atau mempertahankan keputusan dari FAM dilihat kelemahan besar FAM. Ternyata FAM sudah gagal tak perlu menafikannya lagi. Segala usaha FAM selama ini terbukti gagal. Mereka perlu berundur dari jawatan. Saya percaya, perubahan drastik pengurusan FAM mampu membawa perubahan kepada kemajuan bola sepak Malaysia. Kenapa mereka (ahli politik FAM) perlu pertahankan jawatan mereka. Apa rasionalnya mereka duduk dikerusi FAM sedangkan segala perancangan dan usaha mereka telah terbukti gagal. Mereka telah gagal tetapi masih cuba menafikan yang mereka telah gagal. Sedangkan bukti sudah didepan mata. Bola Sepak Malaysia sudah tidak kemana dan tidak dihormati lagi.
Bagaimana FAM perlu dirombak ? Semua orang bercakap FAM perlu dirombak, tetapi bagaimana ia perlu dirombak.
1. Sultan Haji Ahmad Shah dan Tengku Abdullah perlu mengekalkan jawatan.
2. Selain dari perkara 1, pengurusan tertinggi perlu meletakkan jawatan.
3. Sultan Hj Ahmad Shah perlu mempengerusi suatu badan bebas bagi melantik ahli lembaga baru.
4. Jawatan Kuasa Bebas ini perlu mengubah struktur organisasi sedia ada mengikut keperluan pembangunan bola sepak moden. Seperti mewujudkan beberapa jawatan pengerusi teknikal yang mempunyai kuasa yang sama seperti naib president. Jawatan pengerusi teknikal perlu diisi oleh bekas jagoan kebangsaan.
Mereka yang bakal menerajui FAM perlulah dikalangan ahli proffesional seperti pemain bola sepak profesional, ahli akademik sukan, penyelidik sains sukan, jurulatih proffesional, pengadil professional, jurulatih/pengurus kelab gergasi atau negeri, ahli koperat yang berkaitan dengan pembangunan sukan, atau tokoh profesional di dalam bidang pengurusan. Adakah kita ketandusan orang-orang seperti ini ?
Saya rasa tidak. Malaysia mempunyai penduduk seramai 25 juta. Sedangkan Negara sekecil Trinidad and Tobago mampu menguruskan pasukan mereka hingga ke World Cup.
Disini saya ingin mengusulkan suatu cadangan agar dipertimbangkan bagi menggantikan struktur organisasi FAM yang sedia ada.
President: Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar
Deputy President 1: Tengku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Deputy President 2: Tan Sri Alias Omar
Vice President 1: Dato' Mohd Aini Taib
Vice President 2: Dato' Basri Akil
Vice President 3: Dato' Soh Chin Aun
Vice President 4: Dato' M. Chandran
General Secretary: Dato' Dell Akhbar Khan
FAM Technical Committees:
1. Dollah Salleh
2. Zainal Abidin
3. Ghani Minhat
4. Khaidir Buyong
5. Rashid Hassan
6. M. Karathu
7. Lim Teong Kim
8. James Wong
9. Abdul Rahman
10. Wan Jamak Hasan
11. Shebby Singh
Mereka-mereka ini adalah nama-nama besar didalam sejarah bola Malaysia. Mereka telah melihat pelbagai sudut kelebihan dan kelemahan bola sepak kita. Selain dari senarai ini, masih ramai lagi di luar sana yang saya tidak kenali tetapi mampu memperbaiki merubah dan memperkemaskan kelemahan FAM seperti barisan kepimpinan MSN dan MOM.
Selain daripada itu usaha sama dengan kelab-kelab luar atau pengurusan bola sepak luar amat dialu-alukan. Bola sepak Malaysia sudah lama jauh ketinggalan. Dulu musuh tradisi kita adalah Korea Selatan, tapi kini musuh tradisi kita mungkin Laos, Kemboja, Filipina atau Timor Leste. Kita perlu bermula dari awal. Kita perlu merangkak, bertatih, berjalan sebelum kita berlari semula.
Tentu ramai yang masih ingat bulletin utama TV3 ada menunjukkan temuramah pemain bola sepak bawah 12 tahun Danone. Pada peringkat umur 12 tahun, pemain Malaysia bermain lebih baik dari pemain England. Tetapi cita-citanya hanya untuk mewakili Kedah dan bermain Piala Malaysia. Sedangkan pemain England tersebut bercita-cita untuk mewakili Chelsea dan England dan seterusnya mewakili England untuk kejohanan World Cup.
Saya percaya, jika FAM tidak dirombak, maka pada 5 tahun akan datang. Pemain England tadi mungkin sudah menyarung jersi kelab Chelsea Junior, manakala pemain Malaysia tadi belum tentu dapat mewakili Kedah atau sudah melupakan hasrat untuk terus bermain bola sepak.
Saya amat bersetuju dengan kenyataan Dato' Azalina. "Berundurlah jika tidak memberi sumbangan".
No comments:
Post a Comment